Hukumnya adalah berdosa kerana solat tidak boleh diitinggalkan walau
dalam apa jua keadaan. Ini kerana Islam telah menyediakan kaedah
solat ketika berada dalam kesulitan dan kepayahan seperti terperangkap
dalam kesesakan lalu lintas dan sebagainya.
Perkara
yang mesti dilakukan oleh saudara menurut Syaikh Solleh Munajjid ialah
saudara boleh menjamakkan solat antara zohor dengan asar atau maghrib
dengan isyak.
Malah menurut Asy-Syaikh Ibn Uthaimain pula
dalam Fatawanya, sekiranya seseorang yang berniat musafir, boleh
melakukan solat jamak antara zohor dengan asar di rumahnya sebelum
keluar musafir sekiranya bimbang akan terlepas waktu asar. Ini
disebabkan kita menaiki kenderaan awam yang bukan milik sendiri yang
menyebabkan susah untuk berhenti bagi menunaikan solat. Walaubagaimana
pun ianya mestilah dilakukan dengan 4 rakaat bukannya 2 rakaat. Iaitu
tidak boleh men’qasar’kan solat tersebut kerana belum mula musafir.
Dalilnya ialah sabda Rasulullah saw :
Hadis
daripada Ibn Abbas r.a. katanya : Rasulullah sa.w. menghimpunkan
antara solat Zuhur dan 'Asar dan antara Maghrib dan Isya' di Madinah,
bukan kerana takut dan bukan pula kerana hujan. Dan di dalam lafaz
yang lain: Bukan kerana takut dan bukan kerana safar, Lalu (Ibn Abbas)
ditanya: Mengapa baginda s.a.w. berbuat demikian? Jawabnya: Baginda
s.a.w menginginkan agar tidak menyusahkan umatnya". (HR Muslim : 1151)
Inilah
yang sebenarnya yang perlu dilakukan oleh mana-mana umat Islam yang
menghadapi masyaqqah / kesusahan dalam mengerjakan solat fardhu samada
ianya sedang bermusafir mahupun bukan bermusafir.
Wa Allahu A’alam.
Hukum sengaja tinggalkan solat
Kata
Imam Nawawi: Tinggal solat dengan ingkar kewajipannya maka ia adalah
kafir dengan ijmak muslimin dan mengeluarkannya daripada agama Islam
kecuali orang yang baru memeluk Islam. Sekiranya meninggalkannya
kerana malas di samping tetap beriktiqad akan kewajipannya maka ulamak
berpendapat sebagai berikut:
1 – Mazhab Maliki dan Syafi’i: Fasiq dan diminta bertaubat.Sekiranya tidak mahu bertaubat maka dibunuh sebagai had (hudud).
2 – Mazhab Hanafi dan Imam Muzani (ulamak mazhab Syafi’i): Ditakzir dan dipenjara sehingga dia solat semula.
3 – Mazhab Hanbali dan sebahagian ulamak Syafi’i: Meninggalkan solat secara sengaja tanpa sebarang keuzuran jatuh kafir..
Solat
salah satu daripada rukun Islam yang lima, yang diwajibkan ke atas
setiap muslim dan muslimat yang mukallaf (baligh dan berakal).
Kefarduan ini telah disepakati ulama’ (ijma’) dan dikira sebagai
perkara asas agama yang diketahui oleh setiap muslim. Sesiapa yang
mengingkari kewajibannya menjadi kafir dan murtad, kekal dalam neraka;
kerana kefarduannya disandarkan kepada nas yang jelas dan qathi’e
(tidak dapat ditokok tambah) daripada Al-Quran, As-Sunnah dan Ijma’.
Sesiapa
yang meninggalkan solat kerana malas, bermudah-mudah atau sengaja
tanpa menafikan kewajibannya tergolong dikalangan orang yang fasiq dan
berdosa besar yang wajib ke atasnya beberapa perkara:-
1. Bertaubat, beristighfar serta menyesal di atas perbuatannya.
2. Mengqada’kan solat yang ditinggalkannya.
3. Dijatuhkan ke atasnya hukuman had.
Hukuman Had ke atas orang yang meninggalkan solat
Ulama’ mazhab berbeza pendapat pada bentuk hukuman yang dikenakan ke
atas orang yang meninggalkan solat, setelah mereka bersepakat pada
keharamannya dan besarnya dosa peninggalnya berdasarkan ayat-ayat
Al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.
* Mazhab Hanafi:
Peninggal solat dihukum fasik dan wajib dipenjarakan dan dirotan
dengan kuat sampai keluar darah, sehinggalah dia kembali solat dan
bertaubat atau mati di dalam penjara. Dia tidak dibunuh kecuali
mengingkari kewajipan solat atau mempersendakannya.
*
Jumhur ulama’ daripada mazhab Maliki dan Syafie: Orang yang
meninggalkan solat dengan sengaja dihukum bunuh walau pun meninggalkan
satu fardhu sahaja. Disuruh agar bertaubat selama tiga hari, jika
enggan dijatuhkan hukuman had dengan dipenggal kepalanya. Selepas
dibunuh, dimandikan dan disembahyangkan ke atasnya serta ditanam di
tanah perkuburan orang Islam kerana dia tidak dikira kafir. Ini juga
adalah pendapat yang rajih pada mazhab Hanbali sebagaimana dikatakan
oleh Ibn Qudamah dalam Al-Mughni .
Hukum Mengqada’kan Solat
Sesiapa
yang meninggalkan solat kerana terlupa atau sengaja (dan berdosa jika
sengaja), wajib mengqada’kannya. Dalilnya, sabda Nabi S.A.W. yang
bermaksud: Jika tidur salah seorang daripada kamu daripada solat, atau melupainya, dia menunaikannya apabila sedar atau teringat.
Juga Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksudnya: Sesiapa
yang terlupa satu sembahyang, hendaklah menunaikannya apabila dia
teringatnya; tiada kaffarah baginya kecuali yang tersebut (iaitu tidak perlu membayar kaffarah yang lain, memadai dengan menggantikan solat tersebut).
Banyak
lagi hadis-hadis lain yang membawa maksud yang sama iaitu wajib
mengqada’kan solat yang ditinggalkan. Pada zahir hadis tidak menyebut
tentang hukum orang yang sengaja meninggalkan solat, adakah wajib
mengqada’kannya atau tidak. Maka di sinilah ulama’ memainkan peranan
mereka untuk mengeluarkan hukum daripada nas tersebut. Mengikut kaedah
Qias, orang yang meninggalkan solat kerana uzur seperti terlupa atau
tertidur, wajib mengqada’kannya berdalilkan nas tersebut; maka
kewajipan ini terlebih dahulu kena kepada orang yang meninggalkan
solat secara sengaja. Jika tidak, jadilah maksiat itu (meninggal solat
dengan sengaja) membawa kepada kesenangan (tidak qada’). Ini
bertentangan dengan ruh syariat yang adil.
Janganlah kita
terpengaruh dengan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan tidak
wajib mengqada’kan solat yang telah ditinggalkan kerana cukup dengan
Istighfar dan taubat sahaja. Ini kerana jumhur ulama’ daripada mazhab
yang empat Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali mewajibkan qada’ solat
secara umumnya
Dikecualikan daripada Qada’ beberapa golongan:
1. kanak-kanak yang belum baligh, tidak wajib menggantikan solatnya yang terdahulu selepas baligh.
2. orang kafir yang memeluk Islam (muallaf) tidak wajib menggantikan solatnya semasa kufurnya.
3. perempuan yang haid
4. perempuan yang nifas (keluar darah akibat beranak)
5. orang gila, mabuk dan pengsan yang bukan dengan sebab yang disengajakan seperti minum arak dll.
Selain
daripada mereka, samada tidur, sakit, murtad yang kembali memeluk
Islam, [pengsan, gila dan mabuk yang disengajakan] wajib ke atas
mereka qada’.
*Tidur tidak boleh disamakan (qias) dengan
pengsan iaitu tidak perlu menggantikan solat kerana perbuatan tidur
dilakukan dengan sengaja dan kehendak diri, ia berlainan dengan
pengsan yang tidak disengajakan. Dalilnya seseorang itu mampu
menidurkan dirinya tapi tidak mampu menjadikan dirinya pengsan dengan
sendiri dan apabila seseorang itu pengsan, kadang-kadang tidak akan
sedar walaupun dikejut dengan kuat. Apabila seseorang memakan ubat
untuk pengsan contohnya, maka apabila sedar dia diwajibkan juga
mengqada’kan solat yang tertinggal kerana dia sengaja membuat dirinya
pengsan.
Jika seseorang daripada lima golongan di atas
hilang uzur mereka dan masih tinggal waktu yang mencukupi walau
Takbiratul Ihram, wajib baginya menggantikan solat tersebut begitu
juga solat yang sebelumnya jika boleh dijama’kan. Hukum ini menyeluruh
kepada yang bermusafir dan bermukim.
Contoh: Jika
seorang perempuan suci dari haidnya pada akhir waktu Asar, wajib
baginya mengqada’kan solat Asar dan Zohor yang sebelumnya. Begitulah
juga perihalnya jika suci pada waktu Isyak, wajib mengqada’kan Maghrib
dan Isyak.
Jika seseorang perempuan masuk waktu solat dalam
keadaan suci, kemudian datang haidnya sebelum sempat dia solat pada
waktu itu, dan waktu yang suci itu mencukupi untuk solat; wajib ke
atasnya mengqada’kan solat tersebut apabila suci kelak kerana
kelalaiannya dan tidak bersegera menunaikan solat selepas masuk
waktunya.
*Disunatkan mengqada’ solat secara tertib solat
yang ditinggalkan seperti Subuh sebelum Zohor dan begitulah
seterusnya. Dan hendaklah seseorang itu mendahulukan solat yang
tertinggal daripada solat waktu tersebut kecuali kerana takut luput
waktu solat tersebut.
Bagi orang yang tidak tahu berapa
kalikah tertinggal solat hendaklah dia melaksanakan qada’ solat
tersebut sehingga dia yakin bahawa dia telah menghabiskan solat yang
ditinggalkannya .
Hukum menangguhkan solat
Apabila masuknya waktu solat, wajib seseorang itu melakukan salah satu daripada dua perkara:-
1. terus mendirikan solat, itulah yang paling afdhal atau
2. azam untuk menunaikan solat dalam waktunya.
Jika
tidak melakukan salah satu daripada perkara yang disebut di atas,
sesungguhnya berdosalah dia. Ini dinamakan azam yang khas. Dan wajib
bagi seseorang itu selepas baligh menyimpan azam yang umum untuk
melakukan segala suruhan Allah dan meniggalkan segala laranganNya .
Haram
hukumnya menangguhkan solat sehingga tidak sempat menunaikan solat
dengan segala syarat dan rukunnya di dalam waktunya. Sesuatu solat itu
dikira sebagai tunai.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar