Peribahasa bersatu teguh bercerai roboh bermaksud kepentingan
bekerjasama dan perpaduan dalam sesebuah negara itu. Konsep ini begitu
penting kerana keutuhan negara banyak ditentukan oleh rakyat yang
mempunyai kesepaduan yang sebenarnya. Negara yang mempunyai rakyat yang
tidak bersatu pasti akan menerima impak negatifnya terutama dengan
keadaan ekonomi dan politik dunia yang begitu berkaitan hubungannya.
Jelaslah, peribahasa ini mempunyai banyak kepentingan untuk dihayati
oleh masyarakat kita.
Kehidupan masyarakat kita
yang berbilang kaum memerlukan pengamalan peribahasa ini kerana satu
tindakan yang tidak bijak mampu menjejaskan keamanan yang dihayati
selama ini. Mereka perlu berpegang pada prinsip peribahasa ini untuk
membina kekuatan negara kita semula. Masyarakat yang berbilang yang
wujud di negara ini menyebabkan perasaan perpaduan itu begitu mudah
dikikis jika kita tidak berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan
yang mungkin boleh menjatuhkan air muka kaum yang lain. Maka, peribahasa
ini mengingatkan kita betapa pentingnya perpaduan itu.
Selain
itu, konsep perpaduan yang diutarakan dalam peribahasa ini juga penting
dalam suasana politik negara. Perpaduan diperlukan dalam politik kerana
politik boleh membela nasib rakyat negara ini. Perpecahan yang wujud
dalam sistem politik atau pentadbiran negara boleh menggugat keamanan
negara pada jangka masa panjang.Tanpa perpaduan yang utuh tiadalah
sistem politik yang kukuh untuk memastikan nasib rakyat di negara ini
terus terbela.
Pada masa yang sama, makna
perpaduan juga penting untuk memudahkan pembangunan dilaksanakan di
negara ini. Semua aktiviti pembangunan yang dirancang bertujuan untuk
menjadikan negara ini lebih makmur dan maju. Sebarang tindakan negatif
atau jahat boleh menjejaskan pembangunan yang kemudiannya menjadikan
taraf kehidupan rakyat menurun secara mendadak. Keadaan ini jika
berterusan akan menjadikan rakyat di negara ini hidup dalam satu suasana
yang begitu menyedihkan seperti keadaan negara asing yang kita sering
tonton di televisyen pula.
Malahan, peribahasa ini
turut mencanangkan maksud perpaduan rakyat dalam bentuk penyatuan
kebudayaan. Kita sedia maklum budaya negara ini berbilang yang
memerlukan satu integrasi untuk menjadikan semua kebudayaan kita itu
satu kebudayaan Malaysia yang sebenarnya. Amalan bekerjasama atau
perpaduan yang dihayati oleh rakyat negara ini membolehkan semua
kebudayaan yang berbeza itu diserapkan secara tabii menjadi satu
kebudayaan kebangsaan yang boleh menjadi kebanggaan semua rakyat negara
ini.
Kesimpulannya, peribahasa ini banyak membawa
peringatan kepada kita semua akan peri pentingnya perpaduan atau
semangat bekerjasama itu. Sikap menuding jari terhadap mana-mana pihak
apabila mengalami sesuatu masalah bukanlah satu tindakan yang sesuai di
negara ini. Kita harus sedar bahawa amalan “bagai aur dengan tebing”
amat penting dipraktikkan di negara ini.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar